KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau semua pulau dalam perairan negara bagi memastikan peristiwa kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh tidak berulang, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.
"Kerajaan memang sedar dan tahu tentang pengajaran yang kita dapat daripada kes tersebut. Maka kerajaan sekarang akan terus melihat mana-mana pulau yang terdapat dalam perairan Malaysia supaya kita pastikan bahawa kita tidak akan terlepas pandang pada masa akan datang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) ketika menggulung perbahasan usul penyusunan semula Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri yang diserapkan ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Dr Mohd Puad turut membangkitkan isu Pulau Pisang dekat Pontian, Johor yang berkemungkinan menerima nasib yang sama seperti Pulau Batu Puteh ekoran kelemahan sistem pendokumentasi negara.
Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan gesaaan rakyat kepada kerajaan untuk segera merangka pembangunan di Pulau Pisang ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Pulau Batu Puteh yang menyaksikan hak kedaulatannya diberikan kepada Singapura.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata Arkib Negara telah menubuhkan unit khas yang bertujuan mengadakan penyelidikan tentang dokumentasi mengenai warisan dan khazanah negara yang bertujuan mengelakkan berlakunya kelemahan dalam sistem pendokumentasian.
"Unit khas ini akan mengadakan penyelidikan dan mengumpul dokumentasi sejarah negara... hanya yang penting sekarang adalah daripada segi keberkesanan tugas tersebut," katanya.
Ahmad Husni berkata semua agensi atau jabatan yang terlibat dalam aktiviti pendokumentasian ini memberi kerjasama penuh kepada agensi khas ini.
"Unit ini akan mengumpul maklumat daripada jabatan dan agensi dan yang penting jabatan dan agensi harus memainkan peranan supaya lebih banyak maklumat boleh diperolehi," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment