KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Rabu menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno.
"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa.
Dia pun tak minta jawatan apa-apa.
Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Ezam menemui beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.
Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.
Ditanya sama ada langkah Ezam itu memberi satu semangat baru kepada Umno beliau berkata kemasukan orang menyertai Umno tentulah membantu kepada kekuatan Umno.
"Kalau tidak, buat apa nak masuk Umno. Tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam Umno. Umno adalah parti politik bukan sebuah syarikat. Kalau syarikat, nak (cari) untung," katanya.
Ditanya sama ada sumbangan daripada Ezam mungkin berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai Umno kerana sebelum ini beliau memegang jawatan kanan dalam PKR, Abdullah berkata : "Oh gitu ka? Kita tengoklah nanti apa akan berlaku."
Pada akhir sidang akhbar oleh Perdana Menteri itu, Ezam menyerahkan borang permohonan menjadi anggota Umno seumur hidup dengan yuran RM100 kepada Abdullah. Borang itu kemudian diserahkan kepada Setiausaha Kerja Umno Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim.
Abdullah berkata Ezam mahu pulang ke Umno dan akan terus berjuang dalam Umno mengikut matlamat dan tujuan parti itu.
Ditanya mengenai imej Ezam yang kuat dibayangi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah berkata Ezam ikhlas mahu kembali dan akan dilihat kemudian bahawa kemasukannya boleh memberi ruang kepada orang lain menyokong Umno.
Katanya Pemuda Umno tidak dibawa berbincang dalam hal ini tetapi pergerakan itu tidak ada bantahan.
Abdullah berkata sama ada Ezam boleh dibenarkan bertanding untuk jawatan pada perhimpunan agung Umno Disember nanti perlu dirujuk kepada perlembagaan parti.
Perdana Menteri berkata bahawa semasa di luar Umno, tentulah Ezam menjadi kritikal dengan apa yang berlaku dan kini beliau sudah bertukar fikiran.
"Mungkin kerana dia insaf serta sudah berada di kedua-dua belah pihak, mungkin Umno adalah lebih baik untuk menjadi landasan perjuangannnya.
"Patut kena tanya dia (perkara ini). Keistimewaannya ialah dia sudah berada di parti lain di bawah kepimpinan lain dan dia berasakan Umno adalah lebih baik. Itu yang istimewanya," kata Abdullah.
Ditanya sama ada Umno boleh menerima anggota lain daripada PKR yang mahu mengikut jejak langkah Ezam, beliau berkata Umno akan melihat dulu perkara itu dan melihat individu itu terlebih dahulu.
Ezam juga belum diberikan tugasan tertentu oleh Umno pada masa ini, kata Abdullah.
Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR diwujudkan) pada 1999, Ezam, 41, adalah Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1993 hingga 1996, Setiausaha Pemuda Umno Selangor dari 1996 hingga 1998 dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan.
Beliau pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dari 1996 hingga 1998 dan merupakan felo Institut Kajian Dasar dari 1998 hingga 2005.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment