Tuesday, July 29, 2008

Monday, July 28, 2008

Bila Washington Membela Pekerjanya



Pada tahun 1998, Wan Azizah Wan Ismail berjumpa dengan Madeliene Albright (bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat). Apakah ketika itu Wan Azizah saja saja berjumpa atau memohon bantuan dari luar untuk membebaskan Anwar Ibrahim?



(Gambar: Dulu jumpa Madeline Albright, Setiausaha Negara Amerika. Kini pengganti jawatan yang sama iaitu Condoleeza Rice sebagai Setiausaha Negara juga turut membela Anwar). Mulanya pada 30 Jun 2008, Tom Casey (Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat) bersuara meminta kerajaan Malaysia agar jangan menahan Anwar atas dasar politik. Kemudian pada 17 Julai 2008, Sean McCormack, juga Jurucakap Jabatan Negara menggesa agar Malaysia adil dan saksama dalam kes Anwar Ibrahim. Mengapa mereka berminat sangat dengan individu bernama Anwar bin Ibrahim? Ada apa-apa kaitankah dengan mereka?



(Gambar: Anwar cuba menafikan hubungannya dengan Amerika, hakikatnya ianya bukan propaganda tetapi realitinya memang ada. Sekali lagi Anwar berbohong dan berdalih). Pada 24 Julai, di Forum Serantau Asean ke-15 di Singapura, Rice terus dengan kenyataan angkuhnya menggesa Malaysia supaya bertindak telus dan mematuhi lunas undang-undang apabila mengendalikan tuduhan liwat yang libatkan Anwar. "Amerika Syarikat telah lama bercakap (mengenai isu ini) dan akan terus bercakap mengenai kes-kes yang kami merasakan perlu disentuh dari segi kedudukan politik. Kami hendak melihat ketelusan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya di sini," kata Rice. Sudah tiga orang dari satu pejabat yang sama memberi komen membela Anwar Ibrahim. Apakah Bush yang merestui kenyataan mereka ini? Sehari sebelum kenyataan Rice, pada 23 Julai, jam 11.30 pagi, Anwar bertemu dengan 38 orang wakil kedutaan asing di Ibu Pejabat PKR untuk memberi taklimat tentang isunya dan keadaan ekonomi semasa. Anwar beri taklimat atau mengadu pada orang asing?



Gambar: Anwar bersama dalam satu pertemuan di luar negara. Bersamanya salah seorangnya ialah Anthonny Sullivan, wakil dari NED). Tidak menghairankan kenapa Washington campurtangan berulang kali dalam kes Anwar. Dulu pada 1998, Al Gore campurtangan. Kini, Rice, Sean McCormack dan Tom Casey pula. Ini kerana Anwar juga mempengerusikan satu yayasan yang mendapat tajaan dari pejabat yang sama dengan ketiga-tiganya orang tersebut. Pada Disember 2005, Rice pernah hadir di Bahrain untuk melancarkan Foundation For Future (FFF) yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim. Malah FFF, turut mendapat tajaan USD$35 juta dari Jabatan Negara Amerika Syarikat. Jika begitu, tidak salah sekiranya majikan campurtangan di negara lain untuk membela pekerjanya sendiri. Apakah selepas ini Bush pula akan bersuara?

PAS dan UMNO Bersatu Demi Melayu



Pada 26 Julai 2008, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya parti UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam. Nik Aziz berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam Pada 27 Julai 2008, Nik Aziz berkata “kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini,”. Usul tersebut dibawa bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan Pas dari seluruh negara berhubung cadangan itu. Muktamar Tahunan Ke-54 PAS akan diadakan di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos 2008.



"Jaminan Presiden PAS (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa PAS tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini. Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu," kata Karpal Singh dalam satu kenyataan Media pada 27 Julai 2008. Karpal turut menyelar tindakan Nasharudin Mat Isa dengan mengatakan "minggu lepas, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) PAS Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim. Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).”

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat."PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal. Siapakah anjing pemburu yang dimaksudkan oleh Karpal? Adakah Karpal sengaja buat buat tidak tahu jawatan Nasharuddin Mat Isa dalam PAS? Ini bermakna Karpal memang memandang rendah keupayaan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Sekali lagi Karpal Singh menentang percantuman dua parti terbesar ini, malah mencadangkan agar keanggotaan PAS dalam Pakatan Rakyat dikaji semula. Guan Eng pula meminta agar jangan ada konsep divide & rule dan eksklusif dalam parti. Ini jelas menunjukkan bahawa Karpal dan Guan Eng tidak suka melihat pencatuman semula PAS dalam Barisan Nasional. Jika begitu, lebih baik disegerakan kemasukan PAS sebagai parti ke-15 dalam komponen Barisan Nasional. Hanya inilah cara terbaik untuk memperkuatkan orang Melayu. Usah letak lagi syarat, sebelum usaha ini ditentang oleh golongan Melayu liberal dalam PAS.

Monday, July 21, 2008

UMNO & PAS : MUZAKARAH


‘‘Saya dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan ini pada peringkat awal. Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah. Yang lain tak boleh tanya... (pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan,” katanya seolah-olah membayangkan muzakarah itu melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ditanya adakah sebarang syarat diletakkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: “Tak ada (syarat). Buat apa kita meletakkan syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas apa jua pandangan yang difikirkan wajar untuk kita bincang.” demikian ulasan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO mengesahkan bahawa muzakarah sudah tiga kali diadakan dengan PAS dalam Utusan Malaysia 21 Julai 2008.

Ditanya sama ada muzakarah itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan parti komponen lain Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata, hal-hal berkaitan Islam amat penting untuk dibincangkan.‘‘Pada masa ini saya belum bercakap dengan mereka (parti komponen BN), tetapi hal-hal berkaitan agama amat penting untuk kita tidak berbalah kerana kalau hal agama jadi isu politik, ia akan menjadi masalah,” tegasnya.

Sebelum ini pada 12 Julai, dalam temubual dengan Harakahdaily, Haji Hadi juga mengesahkan ada bertemu dengan pemimpin UMNO untuk berbincang bagi menyampaikan mesej Islam. Apakah ini petanda penyatuan semula PAS ke dalam Barisan Nasional kerana bertujuan untuk memperkuatkan semula politik orang Melayu? Petanda bahawa PAS sudah sedar mereka hanya dijadikan perkakas dan batu loncatan oleh Anwar demi mencapai cita citanya untuk menjadi Perdana Menteri sahaja?. Siapa lagi yang ingin turut serta dalam muzakarah ini? Moga lebih ramai lagi yang bersama demi alif, ba dan ta.